Buku Nota Hati seorang Lelaki singgah dalam hidupku semasa di alam persekolahan. Bagiku ia amat bermakna dan satu kesyukuran kerana ditakdirkan membaca buku ini pada usia muda.
Sesungguhnya, setiap manusia mempunyai latar hidup yang berbeza dan cara fikir yang unik. Aku membaca kerana aku ingin berubah. Semestinya kita ingin berubah menjadi insan yang terbaik bukan menjadi manusia yang zalim.
Dalam buku ini, penulis bahagikan nota-nota dalam empat bahagian; Nota Hati Seorang Anak;Suami;Ayah dan Da’i. Dalam pena ini, ku hanya ingin berkongsi bahagian pertama, Nota Hati Seorang Anak.
Nota 1, kisah Ramli yang berbapakan seorang ayah yang terkenal dengan sikap buruk di kampung, tidak solat,tidak puasa malah ke surau pun tidak. Berjudi dan minum arak pula menjadi kebiasaan ayah Ramli.Walaupun demikian, Ramli berjaya menjadi seorang jurutera dan hafiz. Kisah ini memaparkan bahawa kita mempunyai harapan untuk menjadi orang yang soleh walaupun anak kepada seorang ayah yang tidak soleh.
Kisah ini bagiku bukanlah dongengan semata-mata. Antara kita mungkin ada yang mengalaminya. Bukan senang untuk hidup dalam masyarakat yang memandangmu hina kerana lahir dalam keluarga yang banyak melakukan masalah kepada masyarakat. Tidak juga mudah menjadi baik dalam suasana yang tak pernah membantumu. Dua pilihan yang perlu kita pilih, menjadi jahat seperti kata kebanyakkan orang terhadap keluarga kita atau menjadi seorang yang berguna buat ummah.
Dan ku harap kita memilih untuk menjadi insan yang terbaik walau cabaran yang perit bakal kita alami. Jangan sesekali jadikan alasan bahawa berkeluarga dengan manusia yang tak baik, menyebabkan kita memilih jalan yang salah. Sesuatu yang kita maklum bahawa ayah Nabi Ibrahim alaihi sallam juga tidak berpihak kepada nabi Ibarhim. Jadi sebagai insan biasa, kita perlu menerima hakikat siapapun yang telah Allah takdirkan menjadi ayah kita. Teruskan melangkah memperbaiki diri dan buktikan kepada masyarakat bahawa kita juga berpeluang menjadi insan yang diredhai Allah.
Pendengar Cerita Lama.
Membaca coretan penulis dalam bab ini, membuatku tersentak dan terfikir. Dalam kalangan kita, akan ada ibu atau ayah yang suka bercerita kisah yang sama dan berulang-ulang. Kisah yang telah kita hafal skrip dan jalan ceritanya. Yang pasti perasaan bosan akan menjelma dalam hati kerana mendengar sesuatu yang berulang-ulang. Tersentak dan terfikir? Selagi kita mempunyai ayah dan ibu disisi, apa salahnya meluangkan masa yang Allah kurniakan untuk mendengar kisah mereka. Pernah suatu ketika,terasa kurang ajar pada ayah apabila mengatakan, “Ayah dah pernah cerita sebelum ini. Kami dah hafal kisah ayah ni”. Berubah air muka ayah. Arghhh. Perit rasanya mengenang perangai diri. Selepas membaca nota ini, aku berusaha untuk menghargai setiap butir kata yang dilontarkan oleh ayah dan ibuku. Suatu hari nanti, antara ibu,ayah atau kita akan pergi meninggalkan dunia ini. Oleh itu, mendengarlah sebelum saling berpisah.
Ku syorkan supaya kalian membaca buku Nota Hati Seorang Lelaki karya Ust Pahrol Mohd Juoi ni. Semasa membaca, kita akan merasa seolah-olah penulis berada di samping berkongsi pengalamannya. Sungguh dekat dengan kehidupan kita.
Membaca untuk perubahan.
Sym
26.2.18
Mahallah Maryam
#IGNITEBookReview
Tweet
0 comments:
Post a Comment